MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

SEMUA ISTILAH PEMUSNAH TERKUMPUL DALAM UMNO 2000

Oleh Tarmizi Mohd Jam 

Dapatkan sekarang di pasaran terbitan tidak berkala majalah isu berjudul “Umno 2000 Untuk Dijual?” karya Tarmizi Mohd Jam dengan harga RM4.80 sen atau hubungi email: isu_malaysia@hotmail.com bagi membuat pesanan terus 

Nampaknya, UMNO di bawah teraju Mahathir Mohamad sudah kelihatan letih. Seolah-olah menunggu masa untuk “rebah” menyembah bumi. Perhimpunan Agung parti itu 11 Mei lalu, sekalipun mengkoreksi diri, bermuhasabah dan menuding jari ke dalam, namun  perwakilan tidak merasakan ianya “penting” dan “bermanfaat” kepada wadah Melayu itu selagi Mahathir masih berada diteraju atas. 

Lakonan Mahathir yang penuh abstrak, terkesan dan dibantu oleh kesan bunyi yang pro dan bias, berjaya merendahkan suhu “kemarahan” para perwakilan UMNO terhadap Presidennya. Amalan kurang demokrasi dengan menidakkan “pertandingan” bagi merebut jawatan “keramat” kerusi Presiden dan Timbalan Presiden, mendorong perhimpunan parti itu berada dalam keadaan “kurang selesa” dan “tertekan”. 

Seperti dakwaan Mahathir sendiri, dalam lafaz “Amanat Presiden” nya itu, sudah banyak cara dan kaedah (lakonan) yang dicipta dan dipersembahkannya kepada para perwakilan dalam setiap perhimpunan parti itu sebelum 11 Mei lalu; menasihat, mengungut, memberi amaran keras dan lembut, mengajak belajar dari sejarah, menyekat politik wang, menolak rasuah dan akhir sekali “menangis” --- terbukti gagal mempengaruhi para perwakilan untuk berubah, menyatukan UMNO 2000 dari dalam. Mahathir mengakui, kekalahan ramai calon-calon UMNO yang bertenggek atas kerusi BN dalam pilihanraya umum lalu, adalah natijah dari  sikap ahli-ahli parti itu yang menurutnya: · Mementingkan diri sendiri · Memboikot calon UMNO dan BN · Membantu calon-calon Pas dan KeADILan · Menikam parti dari belakang. 

Mahathir telah berjaya membawa UMNO jauh menyimpang dari landasan perjuangan asal. Tidak sebagaimana dulu, UMNO kini kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus UMNO sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan rakyat. Kamus terkini UMNO dipenuhi istilah-istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan akhlak dan moral, gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah terkumpul dalam UMNO hari ini. 

Perwakilan sebenarnya, belum “progresif” dan “sedikit kurang celik” untuk mencetuskan reformasi dalaman. Mereka masih “bertuhankan” Mahathir sebagai Presiden dan PM Malaysia. Mereka masih akur bahawa Mahathir adalah segala-galanya untuk UMNO dan Mahathir juga adalah seorang yang bagi mereka “amat payah” untuk ditumbangkan, ditumpaskan dan ditalqinkan! 

Percubaan demi percubaan untuk menumpaskan Mahathir dari dalam sudah melalui episod malap dan gelita. Nama Ku Li, Musa Hitam dan Anwar sudah terlipat dalam lembaran “Sejarah UMNO Malaysia Di bawah Penguasaan Mahathir Mohamad “. Selepas Musa Hitam berundur  dan berkompromi dengan Ku Li, nasib kedua-dua pemimpin Melayu itu terus dibaham oleh permainan politik Mahathir yang kian mencengkam. 

Ku Li ditewaskan oleh “undi hantu” perwakilan UMNO pada tahun 1987 yang hampir-hampir mencemaskan Mahathir apabila hanya meraih undi 43 kerat sahaja. Ku Li juga gagal sebagai pemimpin parti pembangkang apabila tidak diterima oleh Mahathir untuk menyertai UMNO (Baru) sebaliknya menubuhkan Semangat 46. Melalui wadah pembangkang ini, Ku Li jelas gagal memainkan peranannya dan gagal menerima sokongan rakyat terbanyak terhadap gagasan dan pakatannya dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. 

Ku Li menyertai UMNO semula dalam satu “pakatan” bersama Mahathir. Semua ahli-ahli Semangat 46 diseret  masuk menerobos pintu PWTC UMNO yang sememangnya menunggu terbubarnya Semangat 46. Maka selain Ku Li, Rais, Tengku Azlan, Zainal Abidin Zin, Mazlan Harun, Zawawi Mat Zin, Ihsan Ibrahim dan ramai lagi, merafak sembah kepada Presiden UMNO, Mahathir Mohamad. Sekian lama berlalu, Ku Li diberi “kuasa” sebagai MKT UMNO dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan. Tugasnya yang berat untuk memimpin pasukan tentera UMNO menawan Kelantan, menjadi “papan yang disorong tarik” bagi survival politik anak raja itu dalam kancah kepimpinan negara. Isu pemecatan Anwar, dirasakan oleh Ku Li sebagai peluang dan ruang baginya mengisi kekosongan itu. 

Ketika ini, tampak jelas, pengaruh Ku Li sebenarnya sudah merudum. Ketiadaan Anwar tidak “mengusik” hati Mahathir untuk menariknya lebih jauh ke dalam UMNO sebagai pemimpin alternatif bagi menggantikan dirinya, bila undur kelak. Mahathir secara licik dan licin, berjaya menumpaskan Anwar sebagai “kuasa” pencabar terdekat untuk mengnyahkannya dari kerusi “keramat” itu. Apa pun yang diperkatakan terhadap isu Anwar; konspirasi,  skandal seks, liwat dan agen negara asing – Mahathir sudah berasa lega dengan tindakan politiknya itu dan sudah tentulah berasa selamat dari dibaham oleh Anwar dalam Perhimpunan Agung UMNO. 

Pak Lah boleh meluruskan jalan yang dirintis oleh Mahathir dalam UMNO 2000. Tidak banyak “kemajuan” dari segi idea, pemikiran, pembaharuan dan kejutan yang boleh dilakukan oleh Pak Lah. Mereka berdua diibaratkan seperti janggut dengan dagu! Kemenangan besar PAS baru-baru ini, sekaligus telah berjaya menenggelamkan kepercayaan rakyat terhadap “khurafat akhbar” kononnya hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah negara ini… 

Memang, Dr. Mahathir seringkali mendabik dada mengatakan kononnya hanya UMNO satu-satunya parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. UMNO sahaja yang boleh memerintah negara ini. Dia kata hanya UMNO pejuang bangsa Melayu. UMNO juga adalah parti Islam terbesar dalam negara dan ketiga di dunia. Itu kata dia. UMNOlah juga yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Lagu tema Setia yang sering didendangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan kerajaan Malaysia yang kini diterajui oleh UMNO adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Pemimpin UMNO dulu dan sekarang berjaya menanamkan kepercayaan ini. Kita menggelarnya sebagai “khurafat akhbar” atau fahaman tahyul yang direka-reka untuk kepentingan politik mereka.  Seolah-olah parti lain tidak berkemampuan untuk memerintah. Hanya UMNO sahaja yang boleh!

Apa yang kita tengok, setelah hampir 46 tahun memerintah, UMNO semakin jelas gagal mencapai apa yang diperjuangkannya selama ini. Malah semakin banyak bukti-bukti bahawa perjuangan UMNO di bawah Dr. Mahathir kini sudah jauh menyimpang daripada mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Yang mereka pertahankan hanyalah “temolok” dan “perut” suku-sakat serta kaum kerabat semata-mata dengan menyelindung diri dari pepejal parti UMNO yang dicap mohorkan sebagai perjuangan untuk bangsa, agama dan negara(?)

 counter.bloke.com